Sunday, July 4, 2010

Inilah Jerman



Aku mengaku, selama Piala Dunia ini aku tak pernah menjangka pun Jerman jadi juara. Sebabnya memang setiap kali Piala Dunia Jerman bukanlah pasukan yang digembar-gemburkan bakal menjadi juara macam Brazil, Argentina dan Itali. Oh tidak lupa juga England yang percaya sangat menjadi juara Piala Dunia 'is their divine right'.

Aku angap inilah kelebihannya menjadi peminat Jerman setiap kali Piala Dunia. Sebab Die Nationalmannschaft sentiasa mempunyai label 'not the favourite but never write the Germans off' setiap kali Piala Dunia. Orang tak jangka mereka juara tapi masih tetap beri perhatian pada Jerman.

Sebab itu meminati Jerman bagi aku adalah benda yang mudah dan tak membebankan. Tidak jadi juara, tidak apa. Cukup sekadar menunjukkan pencapaian yang baik dan bagi sebuah negara bolasepak seperti Jerman, pencapaian yang baik ialah mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir setiap kali Piala Dunia.

Kenapa beban label 'favourite' ini jarang diberikan pada Jerman sebabnya mudah. Jerman tidak ada bintang. Tidak ada Wayne Rooney, Kaka, Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo yang dikatakan superstar bolasepak tetapi semuanya tidak menjaringkan sebiji gol pun dalam Piala Dunia 2010 ini.

Bintang yang sebenar bagi Jerman setiap kali Piala Dunia ialah kesebelasan yang beraksi di tengah padang pada setiap perlawanan. Kalau tidak masakan diberi jolokan Die Nationalmannschaft?

LAWAN ARGENTINA

Sebelum perlawanan, semua pundit bolasepak di Astro meletakkan Argentina sebagai pemenang. Awal-awal lagi dah nampak kenapa pundit bolasepak Astro memang sebenarnya pundek. Sebab yang pertama aku tak rasa orang makan rasuah macam Abbas Saad itu boleh dikira pundit bolasepak. Sebab yang kedua semuanya termakan dengan demam Maradona-Messi dan terlupa prinsip asas bolasepak Piala Dunia:

"Never write the Germans off!"

Aku tak jangka Jerman akan menang 4-0 lawan Argentina. Paling tidak mereka seri dan Jerman menang penentuan sepakan penalti. Tapi itulah yang sebaliknya berlaku.

Rumusan aku, kekalahan Argentina ialah kerana ketiadaan strategi dan taktik yang jitu. Memang Maradona sudah terkenal sebagai jurulatih yang mempersetankan taktik dan setakat ini bernasib baik dengan meletakkan penyerang-penyerang superstar untuk menghadirkan gol buat Argentina. Tapi menentang Jerman yang terkenal dengan taktikal, memang dungu Argentina dibuatnya.

SEPARUH MASA PERTAMA

Aku kira gol awal Thomas Mueller sebagai pembolehubah utama perlawanan ini. Argentina dalam perlawanan kumpulan dan ketika bertemu Mexico tidak pernah ketinggalan jaringan dan sudah terlalu selesa dan biasa untuk berada di depan. Tetapi bertemu Jerman mereka dikejutkan dengan gol awal Mueller dan bermula dari sini Argentina berada dalam keadaan tertekan.

Ketinggalan buat kali pertama dalam Piala Dunia ini, Argentina melancarkan serangan bertubi-tubi tetapi nampak jelas mereka tidak ada perancangan dan kerjasama satu pasukan. Carlos Tevez dan Angel Di Maria bermain sebagai dua unit yang tidak ada talian antara satu sama lain. Sekaligus meletakkan Gonzalo Higuain yang bertindak sebagai penyerang utama terputus bekalan di depan.

Manakala Lionel Messi pula sekalipun mempunyai skil tahap dewa telah jelas membuktikan pada kita semua bolasepak bukan permainan individu. Messi cuma menggelecek dan berpusing-pusing cuba mengatasi benteng Jerman tetapi terus gagal mencapai objektif utama iaitu menjaringkan gol.

Di tepi padang, Diego Maradona dilihat seakan tidak mempunyai apa-apa pelan tindakan untuk mengubah rentak permainan. Rakaman video lebih banyak menunjukkan Maradona memegang tasbih dan berdoa kepada Tuhan seperti seorang rahib, bukan merencana taktik atau strategi layaknya seorang jurulatih.

Jerman pula kelihatan memilih untuk mengekalkan kelebihan satu gol dan menyerap serangan tidak teratur Argentina sambil mencuri peluang melakukan serangan balas pantas yang sudah menjadi trademark Jerman dalam Piala Dunia ini. Beberapa peluang datang bergolek tetapi pertahanan Argentina bertindak baik untuk menafikan Jerman sebarang gol tambahan pada separuh masa pertama.

Semua ini bagaimanapun berubah pada separuh masa kedua.

SEPARUH MASA KEDUA

Jerman terus menyerap serangan bertali arus tetapi tidak teratur oleh Argentina, membiarkan Messi dan Tevez mara ke depan sekali-sekala untuk mencuba Manuel Neuer. Tetapi secara keseluruhannya bahagian tengah dikuasai oleh Jerman.

Sami Khedira dan Bastian Schweinsteiger beroperasi dengan baik untuk mengekang gerakan Messi, memberi ruang buat Mesut Oezil bergerak bebas untuk memantau barisan pertahanan Argentina. Di sini Maxi Rodriguez dan Di Maria, kedua-duanya bukanlah defensive midfielder seperti Esteban Cambiasso, gagal menghalang Oezil yang mempunyai kebebasan melorongkan bola pada Lukas Podolski atau Thomas Mueller.

Jerman membiarkan 25 minit pertama separuh masa kedua menjadi milik Argentina, kemudian masuk gear kelima pada 20 minit terakhir untuk menghabiskan saki-baki perjuangan Argentina.

Semua 3 gol Jerman pada separuh masa kedua adalah sama jika tidak serupa. Podolski kepada Klose, Schweinsteiger kepada Friedrich dan Oezil kepada Klose. Semuanya hantaran silang dari sayap kiri Jerman kepada pemain di tengah kotak selepas pertahanan Argentina diumpan ke zon bek kanan mereka.

Apa yang jelas Jerman ada kepantasan bila melakukan serangan balas dan Argentina mangsa ketiga mereka selepas Australia dan England. Sesuatu yang lebih menakutkan ianya dilakukan dengan ketepatan jitu dan semua pemain Jerman ada keupayaan dan keinginan menyerang. Pertahanan Argentina telah di 'outnumbered' dalam serangan Jerman seperti apa yang berlaku pada England.

Argentina cuba mengatur serangan dan mencari gol saguhati dalam minit-minit terakhir tetapi sekali lagi ianya tidak teratur. Bila pengadil meniup wisel, perlawanan ini adalah testimoni betapa status bintang pada individu tertentu pasti malap bila berdepan dengan lawan yang bermain dengan taktik dan strategi sebagai sebuah pasukan.

SUBSTITUSI

Joachim Loew memasukkan Jansen untuk Boateng, Kroos untuk Khedira dan Trochowski untuk Mueller. Semua pertukaran ini lebih kepada merehatkan pemain dan memberi peluang kepada yang lain untuk beraksi.

Diego Maradona sekali dengan penuh misteri tidak melakukan sebarang pertukaran yang boleh memberi impak dari segi taktikal. Kenapa tidak masukkan Mario Bolatti atau Juan Veron untuk menguasai bahagian tengah dari Jerman, seawal separuh masa kedua? Dalam melihat Oezil melakukan larian yang mengkucar-kacirkan pertahanan Argentina, aku tahu ramai peminat Argentina yang berharap alangkah baiknya jika Maradona ada membawa Esteban Cambiasso ke Piala Dunia 2010.

Sebaliknya Maradona memasukkan Sergio Aguero menggantikan Di Maria dan menggadaikan Otamendi di bek kanan untuk pemain tengah Javier Pastore (yang memberi peluang Jerman mendapatkan gol ketiga 4 minit kemudiannya).

KONKLUSI

Macam aku sebutkan, perlawanan ini adalah testimoni bahawa taktik dan strategi pasukan mengatasi skil dan kemahiran individu. Juga hakikat bahawa Joachim Loew walaupun bukan pemain ternama tetapi beliau muncul jurulatih Jerman atas kredibiliti selaku jurulatih. Diego Maradona adalah contoh terbaik kenapa bekas pemain ternama bukan jaminan mereka boleh menjadi jurulatih ternama secara automatik.

Kesan dari perlawanan ini dan kekalahan besar Argentina, aku berharap Maradona tidak kembali terjebak dalam kancah penagihan najis dadah. Sebab dalam hati aku juga ada secebis taman buat Maradona dan Argentina.

1 comment:

Related Posts with Thumbnails