Thursday, July 8, 2010

“Saya Benar-Benar Bersimpati Dengan Michael Ballack, Tapi Saya Harus Mengatakan Ketiadaannya Telah Membantu Jerman”


Di atas adalah kata-kata bernas dari abang otai Teuton, Lothar Matthaus. Italia 90 dan Lothar Matthaus adalah punca kenapa aku kekal peminat tegar Die Nationalmannschaft sehingga ke hari ini.

Oh, aku juga turut mengikuti Bundesliga. Bukan sekadar EPL sahaja. Yang ini supaya aku tidak dituduh poser oleh seorang pembaca Sokernet yang beranggapan kita hanya boleh menyokong negara tertentu kalau kita mengikuti liga negara tersebut.

Berbalik kepada Lothar Matthaus, pemegang rekod caps terbanyak Jerman ini (150 caps) diiktiraf sebagai libero atau sweeper terhebat dunia. Oleh kerana aku membesar dengan menonton corak permainan Matthaus, maka secara automatik aku memilih posisi yang serupa dalam karier bolasepak aku yang tidak seberapa.

Cerita lain.

Cakap-cakap Matthaus mengenai Michael Ballack ada betulnya. Kerana kalau tidak atas kecederaan Ballack, skuad Jerman dalam Piala Dunia 2010 mungkin berbeza dari apa yang kita lihat sekarang.

Yang pertama kehilangan Ballack memberi peluang buat Sami Khedira, seorang pemain tengah yang bermain lebih pantas dan lebih menyerang. Satu perkara yang sangat diperlukan bila Jerman melakukan ofensif mereka kerana ini memberi kelebihan dari segi kuantiti, satu perkara yang jelas kelihatan dalam kes pertahanan England dan Argentina yang telah di-‘outnumbered’ sebelum ini.

Yang kedua, ketiadaan Ballack bermakna Bastian Schweinsteiger tidak lagi perlu bermain di bawah kelibat Ballack. Sekaligus memberikan peluang kepada Schweini untuk menentukan tempo dan corak permainan skuad Jerman, contoh terbaik jelas dapat kita lihat dalam perlawanan menentang Argentina.

Ketiga, tanpa Ballack seluruh skuad Jerman mendapat faedahnya. Seperti kita tahu skuad kali ini merupakan antara skuad bolasepak termuda yang pernah diketengahkan oleh Jerman dan sudah pasti corak permainan mereka lebih pantas dari lazimnya. Ballack yang kita kenal adalah seorang pemain berumur dan beliau mungkin lebih menggemari permainan yang sedikit perlahan dan ini boleh menjejaskan tempo pemain muda Jerman.

Sekarang kita tahu rahsia kejayaan Jerman setakat ini, pemain tua mengundur diri (Ballack) dan pemain-pemain muda menonjolkan diri (Khedira, Schweinsteiger dan lain-lain). Miroslav Klose (32 tahun) terkecuali dalam hal ini kerana sebagai penyerang tunggal, beliau lebih banyak menunggu bola untuk dijaringkan dari berlari menggelecek bola.

Cakap abang otai Teuton memang ada betulnya. Cuma yang aku nak sangkal sedikit ialah Matthaus dulu pun main sampai dua dekad dengan Jerman dan dalam lima Piala Dunia, langsung tidak bagi peluang pemain muda lain untuk menonjolkan diri.

Cis!

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails